Beliau ialam Abu al-Qassim bin Firruh bin Khalaf bin Ahmad al-Ru'aini al-Syatibi al-Andalusi. Dikenali dengan Imam al-Syatibi dan dilahirkan pada tahun 538 Hijrah di sebuah tempat yang bernama 'Syatibah' iaitu salah sebuah perkampungan di Andalus.
Imam al-Syatibi mengambil dan mempelajari ilmu Qiraat daripada Imam Abi al-Hassan Ali bin Huzail al-Balansi. Beliau pula mengambil Qiraat daripada Imam Abi Daud Sulaiman bin Najah, daripada Imam Abu Amru Uthman bin Said al-Dani iaitu pengarang kitab al-Taisir dan al-Dani pula mengambil qiraat daripada Imam Abi Abdullah Muhammad bin al-'As al-Nafazi sehingga sampai sanadnya kepada Nabi Muhammad SAW.
Di samping itu, ramai juga di kalangan Ulama yang telah mempelajari dan mengambil Qiraat daripada beliau. Di antaranya ialah Imam Abu Amru Uthman bin Umar bin al-Hajib, Syeikh Abu al-Hassan Ali bin Hibbatullah bin al-Jumayzi, Abu Bakr Muhammad bin Wadhah al-Lakhmi, Abdullah bin Muhammad bin Abdul Warith bin al-Azraq dan lain-lain lagi.
Beliau meninggal dunia di Mesir pada hari Ahad, bersamaan 8 Jamadil akhir 590 Hijrah, selepas fardhu Asar pada usia 52 tahun. Jenazahnya dikebumikan di sebuah tempat yang bernama "Qarafah al-Sughra" berhampiran dengan kaki bukit Muqattam di Mesir. Kuburnya diketahui dan diziarahi oleh orang ramai sehingga ke hari ini. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atasnya. Amin ya Rabbal 'Alamin.
No comments:
Post a Comment